Sabtu, 21 Ogos 2010

UNIVERSITI PENDIDIKAN SULTAN IDRIS





Universiti Pendidikan Sultan Idris merupakan universiti pendidikan pertama di Malaysia. Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah diisytiharkan sebagai sebuah universiti pada 1 Mei 1997 melalui Warta Kerajaan P.U.(A) 132 & 133, bertarikh 24 Februari 1997, di bawah dua buah Perintah iaitu Perintah Universiti Pendidikan Sultan ldris (Perbadanan) 1997 dan Perintah Universiti Pendidikan Sultan ldris (Kampus) 1997. Sebelum ini UPSI dikenali sebagai Institut Perguruan Sultan Idris.

UPSI dulunya dikenali sebagai Maktab Perguruan Sultan Idris (Sultan Idris Training College atau SITC) di Tanjung Malim. Namanya sempena nama Sultan Idris Murshidul Aadzam Shah ibni al-Marhum Raja Bendahara Alang Iskandar yang memerintah negeri Perak dari 26 Jul 1887 - 14 Jan 1916. Baginda lahir pada tahun 1849 dan mangkat pada tahun 1916.

Sejarah penubuhan UPSI bermula dengan cadangan R.O. Winstedt untuk memusatkan maktab-maktab perguruan Melayu. Setelah mendapat persetujuan Sultan Abdul Jalil Perak, Pesuruhjaya Tinggi British telah mengumumkan untuk menubuhkan sebuah Maktab Pusat yang besar bagi guru-guru Melayu sebagai kenang-kenangan kepada Almarhum Sultan Idris Ibni Almarhum Raja Iskandar, Perak. Maktab yang dinamakan The Sultan Idris Training Collge for Malay Teachers yang dikenali dengan nama ringkasnya sebagai SITC telah dirasmikan oleh Sir George Maxwell, Ketua Setiausaha Negara pada 29 November 1922.

Pada 21 Februari 1987, SITC telah dinaikkan taraf sebagai Institusi Pendidikan Sultan Idris (IPSI). Kedudukan tarafnya lebih tinggi daripada makatb-maktab perguruan yang lain dan diberi kuasa mengendalikan Kursus Sijil Lanjutan Pergurusan dan Diploma Lepas Sijil.

Sesuai dengan peranan dan kepentingannya telah mendorong Kerajaan untuk menaikkan tarafnya kepada peringkat yang lebih tinggi sebagai Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada 1 Mei 1997.

Jumaat, 20 Ogos 2010

MELAYU -Puisi oleh Usman Awang





Melayu itu orang yang bijaksana
Nakalnya bersulam jenaka
Budi bahasanya tidak terkira
Kurang ajarnya tetap santun
Jika menipu pun masih bersopan
Bila mengampu bijak beralas tangan.

Melayu itu berani jika bersalah
Kecut takut kerana benar,
Janji simpan di perut
Selalu pecah di mulut,
Biar mati adat
Jangan mati anak.

Melayu di tanah Semenanjung luas maknanya:
Jawa itu Melayu, Bugis itu Melayu
Banjar juga disebut Melayu,
Minangkabau memang Melayu,
Keturunan Acheh adalah Melayu,
Jakun dan Sakai asli Melayu,
Arab dan Pakistani, semua Melayu
Mamak dan Malbari serap ke Melayu
Malah mua'alaf bertakrif Melayu
(Setelah disunat anunya itu)

Dalam sejarahnya
Melayu itu pengembara lautan
Melorongkan jalur sejarah zaman
Begitu luas daerah sempadan
Sayangnya kini segala kehilangan

Melayu itu kaya falsafahnya
Kias kata bidal pusaka
Akar budi bersulamkan daya
Gedung akal laut bicara

Malangnya Melayu itu kuat bersorak
Terlalu ghairah pesta temasya
Sedangkan kampung telah tergadai
Sawah sejalur tinggal sejengkal
tanah sebidang mudah terjual

Meski telah memiliki telaga
Tangan masih memegang tali
Sedang orang mencapai timba.
Berbuahlah pisang tiga kali
Melayu itu masih bermimpi

Walaupun sudah mengenal universiti
Masih berdagang di rumah sendiri.
Berkelahi cara Melayu
Menikam dengan pantun
Menyanggah dengan senyum
Marahnya dengan diam
Merendah bukan menyembah
Meninggi bukan melonjak.

Watak Melayu menolak permusuhan
Setia dan sabar tiada sempadan
Tapi jika marah tak nampak telinga
Musuh dicari ke lubang cacing
Tak dapat tanduk telinga dijinjing
Maruah dan agama dihina jangan
Hebat amuknya tak kenal lawan

Berdamai cara Melayu indah sekali
Silaturrahim hati yang murni
Maaf diungkap senantiasa bersahut
Tangan diulur sentiasa bersambut
Luka pun tidak lagi berparut

Baiknya hati Melayu itu tak terbandingkan
Segala yang ada sanggup diberikan
Sehingga tercipta sebuah kiasan:
"Dagang lalu nasi ditanakkan
Suami pulang lapar tak makan
Kera di hutan disusu-susukan
Anak di pangkuan mati kebuluran"

Bagaimanakah Melayu abad dua puluh satu
Masihkan tunduk tersipu-sipu?
Jangan takut melanggar pantang
Jika pantang menghalang kemajuan;
Jangan segan menentang larangan
Jika yakin kepada kebenaran;
Jangan malu mengucapkan keyakinan
Jika percaya kepada keadilan.

Jadilah bangsa yang bijaksana
Memegang tali memegang timba
Memiliki ekonomi mencipta budaya
Menjadi tuan di negara Merdeka "

NUKILAN
Usman Awang

TIGA GOLONGAN MANUSIA



Menurut sebuah hadith Qudsi, Rasullah S.A.W. ada mengatakan bahawa Allah S.W.T. berfirman yang bermaksyd: Terdapat tiga golongan manusia yang disukai Allah dan terdapat tiga golongan yang lebih disukai Allah iaitu:

Golongan Pertama
Orang yang tawadhuk dan orang kaya yang tawadhuk lebih disukai Allah S.W.T.

Golongan Kedua
Orang yang pemurah dan orang miskin yang pemurah lebih disukai dan dikasihi Allah S.W.T.

Golongan Ketiga
Orang yang bertaubat dan orang muda yang bertaubat lebih disukai oleh Allah S.W.T.



Dalam sebuah hadith Qudsi yang lain, Rasullah S.A.W. ada menyatakan bahawa Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud: Terdapat tiga golongan manusia yang dibenci Allah dan golongan yang lain yang lebih dibenci Allah S.W.T.

Golongan Pertama
Orang yang takbur dan orang miskin yang takbur lebih dibenci Allah S.W.T.

Golongan Kedua
Orang yang bakhil dan orang kaya yang bakhil lebih dibenci Allah S.W.T.

Golongan Ketiga
Orang yang tidak mahu bertaubat dan orang muda yang tidak mahu bertaubat lebih dibenci Allah S.W.T.